 |
Penubuhan
PALAPES Tentera Darat
Pasukan
Latihan Pegawai Simpanan ditubuhkan sebagai pusat melatih pegawai
dari kalangan mahasiswa. Ianya merupakan cawangan pusat latihan
pegawai Rejimen Askar Wataniah; dibawah perintah Markas Latihan
Tentera Darat. Penubuhannya adalah merupakan salah satu program
negara melalui Kementerian Pertahanan yang berperanan untuk melatih
bakal-bakal pegawai dari Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) tentang
aspek ilmu ketenteraan. Program latihan akan melayakkan
mahasiswa-mahasiswi IPTA ditauliahkan sebagai seorang pegawai
bertauliah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan
layak untuk memimpin Pasukan dalam Tentera Darat, Angkatan Tentera
Malaysia (ATM). PALAPES juga adalah sebagai perintis untuk
mewujudkan satu barisan pegawai simpanan yang sentiasa bersedia
untuk digembelengkan bagi menyahut seruan negara apabila diperlukan.
Ia juga merupakan program usahasama di antara tentera dengan IPTA
bagi menguatkan benteng pertahanan dan ketahanan negara dari segala
ancaman. PALAPES ditubuhkan di 12 IPTA sebagai pusat pengeluaran
pegawai dari kalangan mahasiswa dan mahasiswi. Pada mulanya, sebelum
PALAPES diwujudkan, institusi pengajian tinggi telah memulakan
batalion Askar Wataniah di kampus masing-masing. Disebabkan oleh
masa cuti yang tidak sesuai, kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi
tidak mampu untuk mengikuti kursus-kursus bagi membolehkan mereka
menjadi pegawai. Atas kesedaran itu, PALAPES telah ditubuhkan untuk
melahirkan pegawai-pegawai lepasan institusi pengajian tinggi bagi
menerajui Rejimen Askar Wataniah.
Sejarah
awal PALAPES Tentera Darat, selaku sejarah PALAPES di IPTA pada
amnya, bermula pada 3 April 1965 dengan penubuhan Batalion Pertama
Infantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya. Pada awalnya
penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah
menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah,
Perak, sewaktu cuti semester. Tragedi 13 Mei 1969 menyaksikan
Kompeni ini berkembang ke IPTA lain dengan penubuhan Kompeni A di
ITM, Kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas
Batalionnya. Berikutan dengan semangat juang yang tinggi dikalangan
pelajar-pelajar IPTA ini, Brigadier General Dato’ Abdul As Ismail
selaku Pengarah Askar Wataniah ketika itu telah mengambil inisiatif
berbincang dengan Naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM
ketika itu untuk menubuhkan Reserve Officer Training Unit (ROTU).
Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah
meluluskan penubuhan ROTU atau Reserve Officer Training Unit dengan
objektif untuk melahirkan Pegawai-pegawai sukarela dari kalangan
pensyarah, kakitangan dan pelajar di IPTA. Pada 26 Februari
1979, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat
dan dihadiri oleh Naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM
telah diadakan untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing.
Batalion Infantri Askar Wataniah UM dibubarkan dan dengan
secara rasminya bermula dengan UPM pada 2 Februari 1980, UM dan UKM
pada 7 Februari 1980, ITM pada 8 Februari 1980, USM pada 17 Februari
1980, UUM pada 1 Mei 1984 dan UTM pada 11 April 1992. ROTU
kemudiannya ditukar kepada nama PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai
Simpanan) sehinggalah sekarang. Kini universiti-universiti baru
seperti UMS, UNIMAS, KUITTHO, UPSI dan KUKUM turut menubuhkan unit
mereka sendiri.
|
|