|

|
Sejarah
Kompleks PALAPES UM
Pada 7
Februari 1980, ROTU UM telah ditubuhkan secara dengan rasmi dengan
kuasa penubuhan FED(M)/4/41/1/80. Nukleus ROTU UM telah pun bermula
pada 6 Oktober 1979 pada ketika itu. Kumpulan perintis ini telah
dilatih di UM dengan Mejar Abu Bakar bin Baba sebagai Ketua
Jurulatih dan Kapt Abd Razak Bin Nasir menjadi Ajutan. Markas asal
Batalion Infantri Pertama Askar Wataniah Universiti Malaya pada
tahun 1965 adalah disebuah bilik tutorial Fakulti Sastera. Oleh
kerana tiada bangunan khusus sebagai tempat latihan, maka latihan
telah dijalankan di sekitar kawasan kampus dan di kem-kem tentera
yang berdekatan. Pada tahun 1969, Universiti Malaya dan Kementerian
Pertahanan telah bersetuju untuk membina sebuah kem untuk Batalion
tersebut di atas sebidang tanah milik Universiti yang terletak di KM
8, Jalan Damansara, di belakang kampus UM. Pembinaan kem tersebut
dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya secara berperingkat-peringkat
sehinggalah ia siap sepenuhnya dengan lima blok bangunan kayu. Kem
tersebut dikongsi bersama dengan Markas 11 Div ketika itu.
Pada tahun
1983, Markas 11 Div telah membina 2 blok tambahan iaitu garaj
kenderaan dan bilik kediaman jurulatih. Keseluruhan kem tersebut
kemudiannya telah diserahkan kepada PALAPES UM sepenuhnya apabila
Markas 11Div berpindah ke Kem Jalan Imphal. Meskipun begitu, Kem
Damansara ini tidak mampu untuk menyediakan kemudahan yang mencukupi
bagi tujuan latihan PALAPES dengan bilik kuliah yang tidak
mencukupi, dewan besar, padang kawad yang cukup luas, stor senjata
dan lain-lain lagi. Ianya sedikit sebanyak menjejaskan latihan
Pegawai-pegawai Kadet ketika itu. Kem tersebut sudah semakin usang
dengan keterbatasan fungsinya, maka usaha untuk mendapatkan kem baru
telah di usahakan oleh Timbalan Komandan ketika itu, Leftenan
Kolonel Md Afandi bin Hj Awang bermula dari tahun 1994.
Pada 2 Ogos
1996, sebuah kompleks bangunan dengan keluasan 8 hektar yang
terletak di belakang Kem Damansara bernilai 3.8 juta telah
diluluskan untuk dibina. Kompleks ini terdiri dari blok pentadbiran,
blok kuliah, stor senjata, dewan besar, balai pengawal dan yang
paling utama, padang kawad yang luas. Ianya telah siap dibina pada
Februari 1998 dan perpindahan dari Kem Damansara ke Kompleks PALAPES
UM selesai pada 11 Julai 1998 dan diselaraskan oleh Ketua Jurulatih
ketika itu, Mejar Omar bin Daud. Pada 24 November 1998, Kompleks
PALAPES UM telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Y
Bhg Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar dengan disaksikan
oleh Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Laut, Naib Canselor
dan pegawai-pegawai atasan Tentera Darat serta IPTA-IPTA lain.
Sempena perasmian tersebut, YB Menteri Pertahanan telah memeriksa
Perbarisan Kehormatan oleh Pegawai Kadet, menanam pokok ‘Penaga’ di
hadapan bangunan pentadbiran, melancarkan laman web PALAPES UM dan
seterusnya merasmikan seminar yang bertajuk ‘PALAPES Menjelang Alaf
Baru’.
Penubuhan
PALAPES Laut UM adalah ilham daripada Naib Canselor Universiti
Malaya yang ketujuh, Profesor Dato’ Dr. Anuar Zani Mohd Zain. Pada
15 September 2000, PALAPES Laut Universiti Malaya telah ditubuhkan
sempena pemakaian pangkat Kepten (Kehormat) PSSTLDM kepada Naib
Canselor dan Komandan Universiti Malaya, Kepten (Kehormat) Profesor
Dato’ Dr. Anuar Zaini Mohd Zain PSSTLDM. Seramai 45 orang pelajar
merupakan kumpulan perintis telah menyertai PALAPES Laut Universiti
Malaya pada masa itu. Pada 31 Mac 2003, Naib Canselor UM selaku
Komandan PALAPES UM telah disandang oleh Kepten Dato’ Profesor Dr.
Hashim Yaacob PSSTLDM. Beliau telah memahat nama dalam sejarah
sebagai orang yang pertama yang memakai pengkat Kepten PSSTLDM tanpa
kerhormat. Ini kerana, beliau merupakan pegawai PSSTLDM yang
bertauliah sebelum menjadi Naib Canselor. Sehingga kini, PALAPES
Laut UM telah dikepakai oleh 4 orang ketua jurulatih. Bermula dengan
Lt. Kdr. Nasarudin b. Mohd. Nor TLDM (2000-2001), Lt. Kdr. Sharudin
b. Yusof TLDM (2001-2003), Lt. Kdr. Ismail b. Othman TLDM
(2002-2006) dan sekarang Lt. Kdr. Zaki b. Hj. Zakaria TLDM. Lt. Md
Sadat b. Md Sahir TLDM adalah sebagai penyelaras Latihan Aktiviti
PALAPES Laut.
Pegawai dan bintara koordinasi merupakan
orang penting yang menguruskan perjalanan pasukan PALAPES Laut di
kampus. Pada awal penubuhan, PALAPES Laut hanya mempunyai bintara
yang menguruskan pentadbiran iaitu Pegawai Waren I Nadarajah A/L
Thambusamy. Kemudian seorang pegawai ditempatkan sebagai Pegawai
Koordinasi. Bermula dengan Lt. Dya Siaful Bahrie b. Ahmad Bakrim
PSSTLDM pada akhir tahun 2002 sehingga Jun 2004. Sekarang, Pegawai
Koordinasi PALAPES Laut UM ialah Lt. Dya Nik Faizal b. Nik Wail
PSSTLDM dan Bintara Koordinasi ialah BM KMR Md. Sabri b. Wan Mat
Taib. Pada permulaannya, pejabat pentadbiran PALAPES Laut hanya
sebuah bilik kecil di dalam bangunan pentadbiran PALAPES darat.
Tetapi kini, PALAPES Laut telahmempunyai ruang pejabat yang lebih
besar di Kompleks PALAPES UM. Pengurusan pasukan juga telah lebih
teratur dan terurus. PALAPES Laut UM sekarang mempunyai kekuatan
anggota seramai 118 oarang yang terdiri daripada pegawai kadet,
pegawai kadet kanan Junior, pegawai kadet kanan Senior dan
pegawai-pegawai muda. PALAPES Laut UM telah mempunyai enam ambilan
dan seramai 67 orang pegawai dalam latihan telah ditauliahkan
sebagai Leftenan Muda PSSTLDM.
|
|