|
Dasar
Penubuhan PALAPES
PALAPES
merupakan singkatan bagi Pasukan Latihan Pegawai Simpanan. Program
latihan yang diberi kepada mahasiswa-mahasiswi, selain daripada
melengkapkan mereka sebagai pegawai simpanan ATM, juga membantu IPTA
khasnya dan negara amnya dalam membentuk warganegara yang sempurna,
berdisiplin dan mempunyai ciri-ciri ketahanan nasional. PALAPES
melatih setiap pengambilan pegawai kadet dalam tempoh 3 tahun secara
sambilan; latihan biasa diadakan pada setiap hujung minggu. Selain
daripada itu diadakan juga latihan lanjutan dan latihan intensif
yang diadakan setahun sekali selama 3 minggu sepenuh masa.
Keseluruhan latihan PALAPES adalah digiatkan ke arah
memperlengkapkan pegawai-pegawai kadet dengan ilmu ketenteraan yang
cukup meyakinkan mereka apabila negara memerlukan mereka kelak.
Keseluruhan disiplin tentera yang diamalkan bertujuan menjadikan
mereka sebagai mahasiswa yang berdisiplin dan GAGAH SETIA. PALAPES
adalah sebuah unit latihan dibawah perintah Markas Latihan Tentera
Darat dan ditubuhkan untuk tujuan melatih pegawai-pegawai simpanan
Tentera Darat (Rejimen Askar Wataniah) sahaja. Kini PALAPES Tentera
Laut dan Tentera Udara telah ditubuhkan dan ianya mengikut corak
PALAPES Tentera Darat dan adalah dibawah perintah Markas Latihan
cawangan masing-masing.
Tujuan
PALAPES ditubuhkan adalah untuk memberi kerjaya kepada mahasiswa
yang telah lulus dari institusi berkenaan, sama ada bertugas sebagai
pegawai jangka pendek dalam ATM ataupun di dalam Pasukan Simpanan.
PALAPES juga bertindak sebagai perintis untuk mewujudkan satu
barisan pegawai-pegawai yang mana tenaga mereka boleh
mengembelengkan tenaga apabila negara memerlukan perkhidmatan mereka
kelak. Dengan itu penubuhan PALAPES di semua IPTA adalah berasaskan
kepada (Mesyuarat Lembaga Penasihat PALAPES 1/96, Dewan Senat UUM,
12 Jun 1996):
(a)
Kesedaran dan kepercayaan bahawa IPTA dalam negara ini mempunyai
potensi besar menyediakan sumber tenaga manusia yang berkelayakan
akademik tinggi dan boleh memberi sumbangan besar terhadap keperluan
pertahanan negara.
(b)
Kepercayaan bahawa berasaskan kelulusan akademik yang sedia ada pada
mereka, mahasiswa ini boleh dijadikan pegawai simpanan yang dinamik
serta berdedikasi jika diberi bimbingan serta latihan ketenteraan
yang sesuai.
Objektif
PALAPES seperti yang dipersetujui ialah:
(a) melatih
pelajar IPTA dalam ilmu ketenteraan bagi membina insan berdisiplin
dan bersemangat waja
(b)
menyediakan sumber tenaga pegawai lepasan IPTA untuk Angkatan
Simpanan dan Angkatan Tetap
(c)
menyiapkan warganegara yang terlatih dalam bidang ketenteraan bagi
mengukuhkan pertahanan negara dan ketahanan nasional.
|