Prakata
Sejarah PALAPES
Jawatankuasa
Aktiviti Pentauliahan
Kolej Kediaman
Gambar

SEJARAH PENUBUHAN PALAPES

Sejarah awal PALAPES bermula pada 3 April 1965 dengan penubuhan Batalion Pertama Infantri Askar Wataniah cawangan Universiti Malaya. Ianya telah dimulakan dikalangan staf dan pelajar Universiti Malaya berikutan dengan peristiwa konfrontasi dengan Indonesia pada tahun 1963. Di peringkat awal penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti telah menjalani kursus Asas Rekrut di Kem Latihan Seputih, Batu Gajah, Perak, sewaktu cuti semester. Kebanyakan daripada mereka merupakan pelajar-pelajar yang sudah mempunyai asas-asas ketenteraan dan polis dengan sebahagian besarnya merupakan pelajar-pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja. Tragedi 13 Mei 1969 menyaksikan Kompeni ini berkembang ke IPT lain dengan penubuhan Kompeni A di ITM, kompeni B di UPM dan Kompeni C di UKM dengan UM menjadi markas Batalionnya. Berikutan dengan semangat juang yang tinggi dikalangan pelajar-pelajar IPTA ini, Brigedier General Dato’ Abdul As Ismail selaku Pengarah Askar Wataniah ketika itu telah mengambil inisiatif berbincang dengan Naib-naib Canselor Universiti dan pengarah ITM ketika itu untuk menubuhkan ROTU. Pada 18 Disember 1978, Jawatankuasa Turus Angkatan Tentera telah meluluskan penubuhan ROTU atau Reserve Officer Training Unit dengan objektif untuk melahirkan Pegawai-pegawai sukarela dari kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar di IPTA. Namun begitu, ROTU kurang mendapat sambutan dari kalangan pelajar-pelajar berikutan jadual kursus di Pusat Latihan Askar Wataniah (PLAW) tidak seiring dengan cuti semester. Selain daripada itu, mahasiswa juga tidak berpeluang untuk mengikuti kursus bakal pegawai kerana prosedur-prosedur yang perlu dilalui pada ketika itu. Pada 26 Februari 1979, satu mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan oleh Ketua Turus Tentera darat dan dihadiri oleh Naib-naib Canselor Universiti dan Pengarah ITM untuk menubuhkan ROTU di IPTA masing-masing. Kesemua IPTA di Lembah Kelang telah dicadangkan untuk menubuhkan ROTU dengan bantuan dari KEMENTAH. Pada 1 Julai 1979, UKM telah dipilih untuk menubuhkan ROTU percubaan dan kemudiannya diikuti oleh IPTA-IPTA lain seperti UM, UPM, USM dan ITM. Kesemua IPTA menubuhkan ROTU pada awal 1980 kecuali UTM. Latihan-latihan dijalankan di sekitar kampus dan di kem-kem tentera berhampiran. ROTU kini dikenali sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).