LAMAN UTAMA     PALAPES     STAF     MARKAS     LATIHAN
     
KATA ALUAN

KATA-KATA ALUAN TIMBALAN KOMANDAN PALAPES UNIVERSITI MALAYA

LT KOLONEL PROF MADYA DR HASSAN BASRI BIN AWANG MAT DAHAN

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. di atas kurnia keizinanNya, dapat saya mencatatkan sepatah dua kata di dalam laman web PTj PALAPES Universiti Malaya yang dilancarkan bersempena dengan Istiadat Pentauliahan DiRaja Pegawai Kadet PALAPES IPTA yang ke-25 di kampus UM.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada warga kerja PALAPES Universiti Malaya, sama ada dari komponen staf Angkatan Tentera Malaysia mahu pun dari komponen staf universiti yang telah sama-sama bekerja keras untuk menjayakan istiadat yang mana kita telah dilantik sebagai tuan rumah sempena Jubli Perak majlis pentauliahan.

Tahniah juga saya ucapkan khususnya kepada Jawatankuasa Multimedia yang telah berusaha bersungguh-sungguh membina laman web khusus untuk Universiti Malaya. Saya percaya, dengan adanya laman web ini, maka akan terdapat dua kesan positif yang paling ketara. Pertamanya ialah peningkatan imej PALAPES UM dengan penglibatan teknologi maklumat sebagai media informasi kegiatan kita semua kepada masyarakat umum dan juga masyarakat kampus khususnya. Keduanya ialah, lanjutan dari itu laman web ini bertujuan menjadi daya penarik kepada mahasiswa dan mahasiswi universiti ini untuk menyertai PALAPES, bukan sekadar untuk memenuhi syarat aktiviti ko-kurikulum, tetapi sebagai memenuhi tuntutan dan menyahut seruan berbakti kepada negara sebagai seorang pegawai tentera simpanan yang terlatih dan mantap yang mampu digerakkan sebilang masa untuk mempertahankan negara di masa aman dan sebaliknya.

Saya berharap, penyelenggaraan laman web PALAPES UM ini akan sentiasa terkehadapan yang sesuai dengan perkembangan ilmu teknologi komputer dan multimedia terkini. Saya percaya, telah dan sentiasa menjadi aspirasi warga PALAPES UM untuk menjadi pasukan PALAPES yang menghargai dan menggunakan teknologi maklumat di Malaysia.

Kepada para pegawai kadet mahasiswa dan mahasiswi sekelian, saya menyeru agar saudara dan saudari sentiasa bersedia dalam segala aspek kehidupan anda, agar semangat dan perlaksanaan bersedia sebilang masa anda menjadi contoh terbaik kepada warga Universiti Malaya.

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara-saudari sekelian yang berjaya menjalani ujian dan cabaran sebagai pegawai kadet Angkatan Tentera Malaysia selama tiga tahun dan pada masa yang sama menunaikan tanggungjawab saudara-saudari sebagai mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya. Teruskan perjuangan murni saudara-saudari untuk kemajuan diri, bangsa dan negara hingga ke akhir hayat nanti!

Wassalam.

 
    Webmaster: Lt Dr Yang Soo Siang @ hakcipta terpelihara     22 Februari 2006