03-79676196 palapes@um.edu.my

SEJARAH PALAPES UM DAN KOMPLEKS PALAPES UM

Home / Tentang PALAPES UM / Sejarah PALAPES UM Dan Kompleks PALAPES UM

Sejarah awal penubuhan PALAPES UM bermula pada 3 April 1965 melalui penubuhan Batalion Pertama Askar Wataniah di Universiti Malaya.

Ia dimulakan sebagai reaksi  staf-staf dan pelajar-pelajar Universiti Malaya ketika itu terhadap Konfrontasi Indonesia pada tahun 1963. Pada permulaan penubuhannya, seramai 30 orang pelajar dari pelbagai fakulti  telah menjalani latihan rekrut di Kem Seputihm Batu Gajah, Perak semasa Cuti Semester. Kebanyakan pelajar mempunyai latar belakang ketenteraan dan kepolisan, dan mereka merupakan bekas pelajar di Kolej Tentera Diraja. Sentimen perkauman yang berlaku sejak 13 Mei 1969 pula telah mengakibatkan kompeni ini ditambahkan di Universiti Awam yang lain. Kompeni A adalah UiTM, Kompeni B adalah UPM, Kompeni C adalah UKM dengan UM kekal menjadi Markas Utama Batalion.

Batalion infantri Askar Wataniah Universiti Malaya ditubuhkan pada  1 April 1965 di atas kesedaran staf pentadbir dan akademik untuk mempertahankan negara dari sebarang ancaman negara jiran yang ketika itu ingin menceroboh perbatasan negara.

Kumpulan perintis pertama, seramai 30 orang pelajar daripada pelbagai latar pengajian dan keturunan telah terpilih untuk menjalani latihan asas rekrut pada cuti panjang di Kem Latihan Siputih, Batu Gajah, Perak pada tahun 1965.

Dari kumpulan kecil inilah Batalion Infantri Askar Wataniah Universiti Malaya bertapak dan menjalani aktiviti ketenteraan bermula di sebuah bilik kecil  di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Oleh  kerana tiada bangunan khusus yang boleh dinamakan sebagai kem, maka latihan diadakan di dalam kampus dan di unit-unit tentera yang berdekatan  di sekitar Kuala Lumpur.

Keadaan ini berterusan sehingga diperuntukkan sederetan bangunan yang terletak di KM 8, Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Kem lima blok bangunan papan ini telah didirikan di atas tanah Universiti Malaya setelah mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan dan Universiti Malaya sendiri.

Pembinaan kem dimulakan dalam tahun 1969, dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya secara berperingkat sehingga ia siap sepenuhnya dengan lima blok bangunan kayu. Kem tersebut dikongsi bersama dengan Markas 11 Divisyen ketika itu.

Pada tahun 1983, Markas 11 Divisyen telah membina dua blok tambahan iaitu garaj kenderaan dan bilik kediaman jurulatih. Keseluruhan kem tersebut kemudiannya telah diserahkan kepada PALAPES UM sepenuhnya apabila Markas 11 Divisyen berpindah ke Kem Jalan Imphal.

Walaubagaimanapun, Kem Damansara ini tidak mampu untuk menyediakan kemudahan yang mencukupi bagi tujuan latihan PALAPES kerana memiliki kapasiti ruang  bilik kuliah yang  kecil, dewan yang kecil,padang kawad yang terhad dan lain-lain lagi.  Keadaan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan latihan pegawai-pegawai kadet pada ketika itu.

Kem tersebut semakin usang dimamah usia dengan fungsi yang terbatas. Oleh yang demikian, usaha untuk mendapatkan kem baru telah diusahakan oleh Timbalan Komandan ketika itu iaitu Leftenan Kolonel Md Afandi bin Hj. Awang bermula pada tahun 1994.

Pada 2 Ogos 1996, sebuah kompleks bangunan dengan keluasan 8 hektar yang terletak di belakang Kem Damansara bernilai RM3,8 juta telah diluluskan untuk pembinaan. Ianya siap sepenuhnya pada Februari 1998.


Gambar Atas : YB Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar mendengar penerangan daripada YBhg  Kept (K) Tan Sri Dato' Dr. Hj Abdullah Sanusi Ahmad TLDM ketika majlis perasmian Kompleks PALAPES UM.

Kompleks baru ini mempunyai sebuah blok pentadbiran , tiga bilik kuliah, bilik kebal senjata, balai pengawal, dewan serbaguna dan padang kawad berukuran 180m x 100m , cukup untuk menampung anggota perbarisan PALAPES dari semua 10 IPTA dalam satu masa.

Pada 24 November 1998, Kompleks PALAPES UM telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan ketika itu, iaitu YBhg Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar dengan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Laut, Naib Canselor dan Pegawai-pegawai atasan Tentera Darat serta IPTA-IPTA lain.

Sempena perasmian tersebut, Menteri Pertahanan ketika itu telah memeriksa Perbarisan Pegawai Kadet PALAPES UM yang diketuai PRK Nazrol Jamaluddin.

Menteri Pertahanan juga  turut menanam sepohon pokok iaitu Pokok Peaga sebagai simbolik perasmian kompleks baru ini. Acara bersejarah ini diteruskan dengan pelancaran laman web PALAPES UM da seterusnya dakhiri dengan pembukaan seminar yang bertajuk ' PALAPES Menjelang Alas Baru.'

 
 

Last Updated: 05/08/2020